Hati adalah organ paling utama dalam tubuh manusia dan ia nikmat paling agung diberikan Allah. Hati menjadi tempat Allah membuat penilaian terhadap hamba-Nya. Pada hatilah letaknya niat seseorang. Hatilah yang akhirnya mempengaruhi tingkahlaku seseorang.
Niat ikhlas itu akan diberi pahala. Hati perlu dijaga dan dipelihara dengan baik agar tidak rosak, sakit, buta, keras dan lebih-lebih lagi tidak mati. Sekiranya berlaku pada hati keadaan seperti ini, kesannya membabitkan seluruh anggota tubuh manusia. Akibatnya, akan lahir penyakit masyarakat berpunca daripada hati yang sudah rosak itu.
Justeru, hati menjadi amanah yang wajib dijaga sebagaimana kita diamanahkan menjaga mata, telinga, mulut, kaki, tangan dan sebagainya daripada berbuat dosa dan maksiat.
Hati yang hitam ialah hati yang menjadi gelap kerana bergelumang dengan dosa. Setiap dosa yang dilakukan tanpa bertaubat akan menyebabkan satu titik hitam pada hati. Itu baru satu dosa. Bayangkan bagaimana kalau 10 dosa? 100 dosa? 1,000 dosa? Alangkah hitam dan kotornya hati ketika itu.
Perkara ini jelas digambarkan melalui hadis Rasulullah yang bermaksud: "Sesiapa yang melakukan satu dosa, maka akan tumbuh pada hatinya setitik hitam, sekiranya dia bertaubat akan terkikislah titik hitam itu daripada hatinya. Jika dia tidak bertaubat maka titik hitam itu akan terus merebak hingga seluruh hatinya menjadi hitam." (Hadis riwayat Ibn Majah)
Hadis ini selari dengan firman Allah bermaksud: "Sebenarnya ayat-ayat Kami tidak ada cacatnya, bahkan mata hati mereka sudah diselaputi kotoran dosa dengan sebab perbuatan kufur dan maksiat yang mereka kerjakan." (Surah al-Muthaffifiin, ayat 14)
Apa kaitan hati mati dengan Melayu hari ini?
Hati Melayu banyak yang mati hingga menyebabkan kesalahan persepsi terhadap tingkahlaku, tidak tahu membezakan tingkahlaku baik atau tingkah laku jahat, sama ada tingkahlaku positif atau negetif.
Buktinya, banyak Melayu tidak pernah rasa bersalah melakukan dosa, yang terang atau yang tersembunyi. Sama ada yang besar atau yang kecil. Banyak Melayu bersahaja minum arak, memberi dan menerima rasuah sama macam beli dan jual cendol tepi jalan, bersekedudukan ( hingga ada berzina). Berpelukan antara lelaki dan perempuan bukan muhrim perkara biasa, bila masyarakat tegur mereka kata itu urusan mereka apa orang lain nak sibuk ambil tahu, keluarga pun dah tahu dan restu!
Inilah antara senario dan gambaran hati Melayu yang sudah mati. Hati yang sudah mati ini tidak dapat membezakan antara baik dan buruk, antara halal dan haram, antara boleh dan tidak boleh.Asal sahaja mereka nak buat itu bermakna boleh.Malaysia Boleh!(?)
Hati ada 2 penasihat, iaitu akal dan nafsu. Jika hati menerima nasihat akal, maka akan terjelmalah tingkahlaku yang baik. Manakala tingkahlaku jahat akan terjelma bila mana hati menerima nasihat dari nafsu.Ini bermakna banyak Melayu hari ini yang malas guna akal untuk mendasari tindak tanduk mereka.Banyak Melayu hari ini banyak dipengaruhi nafsu dalam setiap tindakan.Bila ini berlaku berulang-ulang dan terus berulang, maka hati secara tidak langsung terdidik ke arah perlakuan negetif hingga akhirnya menjadi kelaziman menyebabkan hati sudah tidak dapat membezakan yang baik dan yang buruk, semuanya pakai boleh.Dan pengakhirannya tingkahlaku yang negetif ini diterima sebagai satu nilai yang betul dan baik.
Adalah malang sekirangnya seseorang itu beranggapan bersekedudukan,menerima rasuah,berzina,membunuh,mencuri, dan sebagainya sebagai sesuatu yang "tidak apa".Mereka tidak sedar bahawa mereka telah "gagal" melaksanakan amanah sebagai khalifah.
Semakin malang bila mana semakin ramai menganggap itu semua boleh diperbetulkan, mereka buat bila masih ada kesempatan, tapi mereka lupa mereka terus hanyut.
Jika sikap ini terus diwarisi dan diwariskan kepada generasi Melayu akan datang, nescaya Melayu akan terus korup. "Jangan Melayu Hilang Di Dunia"
Selasa, 21 April 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan